LAMAN UTAMA PERKHIDMATAN PROGRAM PENYEWAAN & PENEMPATAN SEMULA (ERHP)
DASAR PERUNTUKAN RUMAH KOS RENDAH UNTUK DISEWAKAN

Dasar peruntukan perumahan kos rendah adalah untuk menyediakan kemudahan perumahan yang mencukupi kepada kumpulan yang berpendapatan rendah dan layak menyertai Sistem Pendaftaran Terbuka. Ia juga bertujuan untuk memacu kehidupan yang lebih sempurna serta memupuk integrasi di kalangan masyarakat yang berbilang kaum di Negeri Sabah.

Bagi memastikan golongan sasaran dapat menikmati dan diperuntukkan rumah kos rendah, Kerajaan Negeri Sabah melalui LPPB telah menetapkan Dasar Peruntukan Rumah Kos Rendah bagi rumah-rumah kos rendah yang akan disewakan seperti berikut:-

i. Kadar Sewa Rumah Kos Rendah Negeri Sabah:

  • Kadar sewa bulanan rumah kos rendah di Negeri Sabah adalah mengikut sumber pembiayaan projek perumahan berkenaan, yakni bagi Projek Perumahan Rakyat (PPR) yang biayai oleh Kerajaan Persekutuan, kadar sewa seperti yang ditetapkan oleh Jabatan Perumahan Negara ialah RM120.00 sebulan;
  • Manakala bagi kadar sewa bulanan bagi projek perumahan kos rendah yang biayai oleh Kerajaan Negeri Sabah ialah antara RM150.00 hingga RM170.00 sebulan seperti yang ditetapkan oleh Kementerian Kerajaan Tempatan Dan Perumahan;

ii. Syarat kelayakan permohonan:

  • Pemohon mestilah berumur 18 tahun ke atas:
  • Permohonan adalah terbuka kepada warganegara Malaysia. Keutamaan diberikan kepada penduduk asal Negeri Sabah, yang telah bermastautin di daerah/kawasan di mana projek perumahan kos rendah berkenaan dibangunkan.
  • Pemohon hendaklah mengisi Borang Permohonan Rumah Sewa Kos Rendah yang boleh diperolehi di pejabat-pejabat LPPB ataupun mengisi borang permohonan secara atas talian (online) melalui alamat sesawang lppb.gov.my;
  • Pemohon yang mempunyai hubungan kekeluargaan dengan Ahli Lembaga Pengarah/Pegawai/Kakitangan diwajibkan mengisi Borang Pengisytiharan yang disertakan bersama Borang Permohonan Sewa Rumah Kos Rendah;
  • Pemohon mestilah seorang yang tidak mempunyai rumah atau lot tanah yang boleh dibangunkan rumah di atas nama pemohon atau isteri pemohon.
  • Syarat wajib kelayakan untuk pendapatan kasar isi rumah (suami isteri) adalah di antara RM750.00 hingga RM3,000.00 sebulan untuk semua jenis rumah kos rendah di Negeri Sabah. Had kelayakan untuk pendapatan isi rumah ini berkuatkuasa daripada mula 7 September 2016, seperti yang dinyatakan di dalam Surat KPKT no.ruj:KPKT/(07)/D/799 (37) bertarikh 12hb Oktober 2016.
  • Keutamaan diberikan kepada pemohon lama yang berdaftar dengan LPPB, mangsa bencana alam, mangsa kebakaran, tanah pemilik yang diambil oleh Kerajaan dan kakitangan Kerajaan Negeri dan Persekutuan (dipersetujui dalam Mesyuarat Ahli Lembaga pada 26 April 2001.
  • Permohonan oleh penduduk setinggan warganegara Malaysia juga akan diberikan keutamaan untuk membeli rumah kos rendah walaupun markah SPT mereka rendah.
  • Hanya pemohon yang telah berkahwin, balu, janda dan duda adalah layak untuk dipertimbangkan. Mesyuarat Ahli Lembaga pengarah LPPB bertarikh 26hb April 2001 memutuskan pemohon berstatus bujang yang menangung keluarga juga layak dipertimbangkan.
  • Dalam kawasan yang telah diwartakan sebagai “Native Reserve” hanya pemohon bersatus Bumiputra Negeri Sabah sahaja yang layak untuk memohon.
  • Setiap pemohon rumah kos rendah akan diperiksa oleh LPPB melalui Pihak Berkuasa Tempatan dan Jabatan Tanah dan Ukur untuk mengenalpasti sama ada pemohon tersebut telah memiliki tanah atau tidak.
  • Senarai pemohon yang layak yang dijana oleh SPT akan ditapis melalui proses bantahan awam sebelum dibawa ke Mesyuarat Jawatankuasa Pemilihan Tempatan. Semua senarai nama tersebut akan dipamer kepada umum sebagai notis pemberitahuan awam.

iii. Mesyuarat Jawatankuasa Pemilihan Tempatan:

  • Bagi Projek Perumahan Kos Rendah yang dibiayai oleh Kerajaan Persekutuan, Ahli-ahli Jawatankuasa Pemilihan Tempatan mestilah dilantik oleh Kementerian Kerajaan Tempatan dan Perumahan, Negeri Sabah, yang mana salah seorang ahli mesyuarat ialah daripada Jabatan Perumahan Negara Cawangan Negeri Sabah. Pengerusi Mesyuarat ialah Setiausaha Tetap, Kementerian Kerajaan Tempatan dan Perumahan, Negeri Sabah;
  • Bagi Projek perumahan kos rendah yang dibiayai oleh Kerajaan Negeri Sabah, ahli-ahli Jawatankuasa Pemilihan Tempatan mestilah dilantik oleh Kementerian Kerajaan Tempatan dan Perumahan, Negeri Sabah. Pengerusi Mesyuarat ialah Setiausaha Tetap, Kementerian Kerajaan Tempatan dan Perumahan, Negeri Sabah;
  • Korum ahli bagi Mesyuarat Jawatankuasa Pemilihan Tempatan untuk mana-mana Projek Perumahan Kos Rendah sekurang-kurangnya tiga orang tidak termasuk Urusetia Mesyuarat.

iv. Kuota Peruntukan Penyewaan Rumah kos Rendah:

  • Kuota peruntukan mengikut status Bumiputera dan bukan Bumiputera untuk rumah kos rendah dijual ialah sekurang-kurangnya 70% untuk Bumiputra Sabah dan 30% untuk bukan Bumiputra Sabah;
  • Sekiranya jumlah pemohon Bumiputra Sabah tidak mencapai 70% atau jumlah pemohon bukan Bumiputra Sabah tidak mencapai 30%, maka permohonan rumah akan dibuka kepada kedua-dua kumpulan pemohon, tertakluk kepada keputusan Mesyuarat Jawatankuasa Pemilihan Tempatan dengan mendapat kelulusan Kementerian Kerajaan Tempatan dan Perumahan Negeri Sabah.
  • Peruntukan mengikut syarat kelayakan, 80% daripada jumlah unit projek perumahan kos rendah akan ditawarkan kepada pemohon yang layak mengikut urutan markah tertinggi seperti di dalam Sistem Pendaftaran Terbuka (SPT). Manakala baki 20% unit lagi akan ditentukan oleh ahli-ahli Jawatankuasa Pemilihan Tempatan berkenaan.
  • Definasi Bumiputera Sabah ialah seperti yang ditermaktub di dalam Enakmen Mahkamah Anak Negeri Sabah 1992/Enakmen Majlis Hal Ehwal Anak Negeri Sabah 1998;

v. Jawatankuasa Peruntukan Semula:

  • Sekiranya masih berlaku kekosongan di mana-mana projek perumahan kos rendah dan Jawatankuasa Pemilihan Tempatan bagi projek berkenaan tidak menyediakan senarai menunggu bagi projek tersebut ataupun senarai menunggu yang diluluskan oleh Jawatankuasa Pemilihan Tempatan telahpun habis ditawarkan, maka tindakan peruntukan semula untuk mengisi mana-mana kekosongan di projek perumahan kos rendah tersebut akan diambil-alih oleh Jawatankuasa Peruntukan Semula yang dianggotai oleh Badan Pengurusan LPPB;
  • Dibawah tatacara peruntukan semula rumah yang belum disewakan ataupun yang telah ditarik balik oleh LPPB, hendaklah ditawarkan kepada pemohon layak yang dalam senarai menunggu (reserve list), yang disusun mengikut markah tertinggi, iaitu selepas diproses melalui Sistem Pendaftaran Terbuka (SPT).

vi. Syarat Tawaran Rumah Sewa Kos Rendah:

  • Bagi pemohon-pemohon yang telah ditawarkan rumah, mereka mesti mendiami rumah tersebut. Mereka tidak dibenarkan menyewakan atau menjual rumah tersebut kepada orang lain. Jika keadaan ini berlaku, LPPB akan menarik-balik rumah tersebut.
  • Setelah ditawarkan, rumah-rumah yang belum lagi diduduki selepas empat belas (14) hari dari tarikh diperuntukan kepada pemohon-pemohon berjaya maka rumah akan ditarik balik dan akan diperuntukkan semula, kecuali atas sebab-sebab tertentu yang dibenarkan.
  • Suami/isteri hanya layak menyewa sebuah rumah kos rendah sahaja sekali seumur hidup. Jika didapati suami/isteri menyewa 2 buah rumah kos rendah maka salah satu daripada rumah tersebut akan ditarik balik oleh LPPB;
  • Penyewa wajib mematuhi lain-lain syarat dan peraturan yang terkandung di dalam Surat Tawaran Menyewa Rumah Kos Rendah dan Surat Penyewaan dengan LPPB;
  • Mana-mana penyewa yang didapati melanggar mana-mana syarat peruntukan dan penyewaan, rumah sewa mereka akan ditarik balik;
  • LPPB berhak meminta pemohon yang berjaya untuk mendapatkan pengesahan Kad Pengenalan daripada Jabatan Pendaftaran Negara sebelum dibenarkan mencabut undi.

vii. Tempoh Penyewaan Rumah Kos Rendah:

  • Tempoh penyewaan rumah ialah 5 tahun. Sekiranya tempoh penyewaan 5 tahun telah tamat, si penyewa boleh membuat rayuan untuk menyambung tempoh penyewaan selama 3 tahun tertakluk kepada syarat kelayakan menduduki rumah sewa PPR dan memperbaharui Perjanjian Penyewaan setiap 2 tahun. Tempoh maksima yang dibenarkan untuk memduduki rumah PPR ialah selama 10 tahun; (Garis panduan Penyewaan Rumah Program Perumahan Rakyat Bagi Negeri Sabah oleh Bahagian Perumahan dan Unit Penempatan setinggan, Kementerian Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah, Feb. 2012);
  • Penyewaan yang melebihi tempoh yang dinyatakan di atas perlu mendapatkan kelulusan Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Negeri Sabah;
Lembaga Pembangunan Perumahan & Bandar

Wisma Perindustrian Likas,
Tingkat 13, 14 & 15,
Jalan Istiadat Likas,
88400 Kota Kinabalu, Sabah.

Hubungi Kami

+6088 287 777

+6088 222 670

aduan.lppb@sabah.gov.my

PENAFIAN
Pihak LPPB tidak bertanggungjawap terhadap sebarang kehilangan atau kerosakan yang dialami kerana menggunakan maklumat yang diperolehi daripada Laman Web ini.
Tarikh kemaskini : 04 FEB 2020

© Hakcipta Terpelihara @ LPPB 2018